Halaman

18 March 2013

IPT diminta beri tumpuan kepada pembangunan modal insan

Oleh; Esah Abdullah

Datuk Ab. Rahim Md. Nor
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini perlu memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Ab. Rahim Md. Nor berkata, penekanan harus diberi kepada kualiti sejajar dengan tuntutan semasa dan kuantiti itu merupakan target asal.

“Satu daripadanya ialah memperkasakan pengajaran dan pembelajaran serta program Pelan Strategik Kebolehpasaran Pelajar (PSKP) yang memberi fokus utama terhadap kemahiran mereka dalam bidang-bidang tertentu termasuk Bahasa Inggeris (BI),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyerahan Projek Pakej 2A, 2B dan 2C Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kompleks Kuliah Pusat UMT hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Dato’ Mohamed Hussain; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Anuar Hassan dan Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu Ir. Haji Shafie Mohammad.

Katanya, kemahiran dalam BI menjadi pokok perbincangan utama pihak cendiakawan dan berharap pihak IPT mengambil pendekatan agresif serta fokus kepada kemahiran berkomunikasi para pelajarnya.

“Beberapa IPT di negara ini telah melaksanakannya sebagai projek utama menekankan beberapa aspek yang boleh merubah sikap pelajar serta memperkasakan program kesukarelawan supaya mereka dapat meningkat kepimpinan,” katanya

Katanya, KPT juga akan memperkasa program Universiti Komuniti Transfomation Central Institusi di mana setiap universiti berkaitan harus melaksanakan program-program yang boleh memperkembangkan lagi kemahiran pelajar-pelajar melalui program kesukarelawan dan sebagainya.

Datuk Ab. Rahim serah kunci projek pakej 2A,2B, 2C kepada Prof Dr Anuar
Pada majlis itu JKR selaku agensi pelaksana yang diwakili Ir. Haji Shafie telah menyerahkan serentak tiga kunci bagi Pakej Pakej 2A,2B dan 2C kepada Datuk Ab. Rahim yang mewakili KPT bagi memulakan operasi.

Kesemua tiga pakej yang telah siap ini menelan kos keseluruhan RM121.87 juta ini termasuklah Pakej 2A meliputi Kompleks Kuliah Pusat dan Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin bernilai RM59.61 juta.

Pakej 2B, mengandungi Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan beserta Pusat Pengajian Siswazah (RM36.04 juta) dan Pakej 2C Institut Oceanografi (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) (RM26.22 juta).

Bagi Pakej 2D, iaitu Pusat Islam kini di peringkat pembinaan dengan kos RM17 juta dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

"Saya harap siapnya tiga pakej ini akan memahat satu lagi sejarah bagi UMT dalam usaha berterusan ke arah mencapai objektif Pelan Transformasi Negara melalui penghasilan para graduan dan ilmuan yang berkualiti,” katanya.