Halaman

24 March 2013

HARGAILAH KEAMANAN

Oleh: Ruslan AR

Sesiapapun tidak boleh menafikan bahawa keamanan dan kedamaian adalah impian semua. Tidak siapapun mahukan keadaan huru-hara dan mengancam keselamatan.

Tindakan pihak tertentu yang mengadakan demonstrasi di depan pintu masuk Wisma Darul Iman baru-baru ini amatlah mendukacitakan kita semua, terutamanya rakyat Terengganu.

Apatah lagi penyokong parti pembangkang itu bertindak liar memanjat pagar dan menganggu lalu lintas telah menimbulkan suasana yang kurang selesa dan menggambarkan betapa mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

Perbuatan itu amatlah tidak bertamadun sama sekali.

Tindakan membuat halangan di pintu masuk utama pusat pentadbiran negeri itu menyebabkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan terganggu, malah pegawai dan kakitangan yang ada urusan tugas di luar terpaksa membatalkan tugasan mereka.

Sampah sarap dan sisa-sisa makanan dibuang di merata-rata serta merosakkan landskap di hadapan pintu masuk pusat pentadbiran itu juga merupakan suatu perbuatan yang tidak beradab dan berakhlak.

Walaupun negara kita mengamalkan sistem demokrasi, tetapi bukanlah bermakna kita boleh melakukan apa sahaja sesuka hati, kerana demokrasi juga memberi hak kepada orang yang mahu hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni.

Kita tidak mahu ada pihak yang menyalahgunakan demokrasi dan kebebasan yang diberikan, untuk melakukan huru-hara serta menimbulkan rasa takut di kalangan orang ramai.

Ia bukan matlamat demokrasi. Demokrasi adalah bertujuan untuk kebaikan dan keharmonian terutamanya bagi kebebasan bersuara dan memilih kerajaan, tetapi hendaklah dilakukan menurut peraturan-peraturannya.

Rakyat hendaknya tidak terikut-ikut dengan gelagat dan perbuatan yang tidak bertamadun serta di luar batasan, kerana kebanyakkan dari kita telah dididik dengan ilmu pengetahuan dan akhlak yang mulia.

Pelajaran yang tinggi semata-mata tidak memberi guna kalau sekiranya tidak dipadukan dengan akhlak yang mulia dan peraturan-peraturan hidup yang telah digariskan oleh agama, pentadbiran dan undang-undang negara.

Rakyat sebenarnya cukup bijak menilai di antara perkara yang baik dengan yang buruk, di antara kaca dan permata.

Negara kita telah sekian lama merdeka, telah sekian lama berada dalam keadaan aman dan damai, mengapa harus di biarkan pihak tertentu menganggu gugat keamanan dan keharmonian tersebut.

Tidakkah kita melihat betapa tersiksanya kehidupan rakyat di sesetengah negara yang di landa huru-hara serta peperangan.

Tidakkah kita mengambil iktibar dan pengajaran dari perkara tersebut supaya ia tidak berlaku di negara kita.

Ikutlah saluran yang betul untuk menyuarakan apa jua pandangan kritikan dan pendapat kepada pihak kerajaan dan bukannya melakukan demonstrasi jalanan dan perhimpunan yang menimbulkan kekecohan.

Malah rakyat diberi peluang untuk memilih wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat dan Undangan Negeri untuk mengemukakan pandangan dan apa jua suara rakyat kepada pihak kerajaan.

Marilah kita meletakkan agenda untuk pembangunan negara dan kemajuan rakyat mengatasi agenda politik peribadi.

Di pihak rakyat pula hendaklah bijak membuat penilaian dan pertimbangan untuk memilih kebenaran dan menolak kepalsuan. Pilihanraya Umum ke 13 sudah tidak lama lagi.

Ia akan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pemilihan dan memberikan mandat ke arah membawa kesejahteraan negara, lebih-lebih lagi untuk membina masa depan negara yang lebih baik dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Tidak perlu kita bersengketa sesama sendiri dan membawa kepada pergaduhan serta pertelingkahan, tetapi sebagai rakyat yang berilmu dan masyarakat yang bertamadun kita perlulah menghadapi pilihanraya tersebut dengan aman dan saksama, dengan tidak melakukan huru-hara dan menimbulkan rasa takut serta mengancam keselamatan.

Marilah kita membina sebuah masyarakat yang hidup berkasih sayang di antara satu sama lain dan membina sebuah negara yang bersatu padu dan cemerlang.