Halaman

24 March 2013

Hargai nikmat yang ada

Oleh; Esah Abdullah

Hargailah nikmat yang ada serta pertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan tradisi membela rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

Katanya, ambil iktibar dengan peristiwa yang berlaku di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang saban hari berdepan dengan kebangkitan rakyat tidak berpuas hati.

“Jangan percaya janji manis pemimpin pembangkang yang dibuat untuk memancing undi,” katanya ketika berucap di majlis Perasmian Gelanggang Futsal dan Penyampaian Geran Hak Milik di Kampung Penempatan Baru Banggol Binjai Jeram Hulu petang semalam.

Katanya, nikmat yang disediakan kerajaan sekarang begitu besar, beri pelbagai bantuan bermula dari dalam perut ibu hingga ke liang lahat.

 “Kita perlu bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa menyediakan kemudahan untuk memastikan rakyat mendapatkan kehidupan yang selesa,” katanya.

Dalam pada itu katanya beberapa kemudahan asas lain termasuk jalan dan sistem perparitan akan dilaksanakan bagi mengelak berlaku tangkungan air di kawasan berkenaan.

“Kerajaan ambil kira semua perkara, untuk beri keselesaan kepada rakyat di mana saja mereka berada,” katanya.

YB Haji Muhammad Ramli seterusnya meminta semua rakyat memberi undi kepada BN pada pilihanraya akan datang agar nasib bangsa Melayu terus terbela.