Halaman

13 March 2013

Hapus cukai pintu, usaha perbodohkan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas yang terdesak meraih undi rakyat negeri ini bukan sahaja sanggup menanam api kebencian kepada rakyat supaya menidakkan keupayaan Kerajaan Barisan Nasional (BN), malah turut menipu rakyat dengan menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Pas berusaha menarik perhatian rakyat dengan menafikan dasar dan undang-undang termasuk memutuskan cukai pintu dihapuskan ketika pemerintahan parti itu pada 1999-2004 lalu.

Katanya, jika pemansuhan itu satu perkara yang boleh dilaksanakan oleh pembangkang, pastinya negeri yang ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan turut melaksanakan perkara itu.

“Ini akta. Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa mana-mana enakmen yang diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didapati bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen automatik enakmen berkenaan akan gugur.

 “Enakmen tidak laku kerana akta mengatasi enakmen. Tidak timbul pun negeri lain mahu menghapuskan cukai pintu. Terengganu sahaja `sombong’, konon banyak pitih. Masa memerintah Terengganu (1999-2004) mereka sama sekali tidak boleh menghapuskan cukai pintu, berikutan ia tidak boleh diluluskan di DUN mengikut Akta 131 kerana bercanggah di Parlimen,” katanya.

 Katanya, Pas terpaksa `memperbodohkan’ dan menipu rakyat bagimenambat hati pengundi supaya memihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, sedangkan mereka tidak mampu mengotakan apa yang dijanjikan ketika itu.

“Ketika memerintah Terengganu dahulu, Pas bertindak membiarkan sahaja cukai pintu bertambun-tambun dalam stor di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk. Akhirnya bayaran itu menjadi tunggakan,” katanya.

 Malah, implikasi daripada tindakan tidak berasas pembangkang ketika itu menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan yang mencukupi, sekaligus mengakibatkan Kerajaan Pas gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membersih sampah-sarap di kawasan perbandaran masing-masing.

 Janji untuk mengecualikan cukai pintu kediaman itu pernah disuarakan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas PRU13. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu yang ada dan tunggu sehingga Pas memenangi PRU13 itu sedangkan sejarah lalu membuktikan dasar yang dibuat itu tidak berhasil, melainkan sekadar menipu rakyat.