Halaman

18 March 2013

Dua pelajar STPM Terengganu terbaik negara

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu berjaya mencipta rekod baru dalam bidang pendidikan apabila dua pelajar tersenarai sebagai calon terbaik negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012, yang diumumkan serentak seluruh negara hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin berkata, pelajar STPM yang berjaya membuktikan kecemerlangan itu Normadia Manaf bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, dan Nor Izyan Suhaimi dari SMK Renek, Besut.

"Normadia yang merupakan anak petani berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) di mana memperoleh A untuk lima subjek yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan Seni Visual.

"Sementara Nor Izyan mendapat PNGK 4.00 dengan memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan A- ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan STPM di JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Nor Izyan terpilih sebagai antara calon terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar.

Jelas beliau, tiada perbezaan antara pelajar sekolah bandar dan luar bandar di negeri ini kerana masing-masing mendapat kemudahan pembelajaran yang sama.

Beliau turut merakamkan rasa bangga dengan keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru dan ibu bapa yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk meningkatkan kualiti pendidikan negeri.