Halaman

24 March 2013

Doktor pakar bersama komuniti

Oleh: Noraini Jusoh


Program sehari doktor pakar bersama komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir telah berlangsung di Bangunan Penyelaras Umno DUN tersebut, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program itu merupakan salah satu program kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri selaras dengan hasrat merakyatkan pembangunan dan pentadbiran di negeri ini.

"Sesuai dengan Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia yang dibina di DUN ini, kita menyediakan rawatan secara percuma kepada penduduk terutamanya yang menghidapi penyakit strok, darah tinggi dan kencing manis.

"Bagi memudahkan penduduk di sini mendapatkan rawatan, selepas ini program sehari doktor pakar bersama komuniti akan diadakan secara berkala pada setiap bulan,” ujarnya kepadaTeganukita ketika ditemui di program tersebut, semalam.


Katanya, sempena program sehari doktor pakar bersama komuniti itu, penduduk berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.

"Kali ini, kita jemput khas doktor pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan pembantu-pembantu perubatan turun padang dengan dibantu kakitangan Unit perubatan Universiti Malaysia Terengganu serta Universiti Sultan Zainal Abidin,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui ketika mendapatkan rawatan sempena program tersebut, Siti Rokiah Ismail, 53, berkata, selain cepat program seumpama itu sangat bagus kerana dapat menjimatkan masa pesakit untuk mendapatkan rawatan doktor.

"Saya sangat menyokong program ini kerana kita tidak perlu membuang masa untuk dapatkan rawatan, berbanding perlu menunggu lama sekiranya ke klinik atau hospital.

"Malah, sekiranya mendapatkan rawatan melalui program ini, kita dapat gunakan masa menunggu tersebut untuk membuat kerja lain,” ujar beliau yang menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi.