Halaman

20 March 2013

DEMO PEMBANGKANG TIADA SAMBUTAN, KEHADIRAN TIDAK SAMPAI SERIBU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Noraini Jusoh

Pembangkang menerima tamparan hebat hari ini 20 Mac 2013, apabila demonstrasi di depan Wisma Darul Iman yang dianjurkan tidak mendapat sambutan ramai.

Pihak penganjur yang cuba menghimpun orang ramai sejak malam tadi dengan membuat khemah untuk tidur di tepi stadium tetapi malangnya kehadiran didapati kurang dari seribu iaitu hanya beberapa ratus orang sahaja.

Kelibat pemimpin utama Pas juga tidak kelihatan, kemungkinan beberapa orang wakil rakyat Pas sudah menyedari tiada sambutan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak hadir bersama pengikut mereka.

Tindakan sebahagian penyokong Pas dan pembangkang memanjat pagar Wisma Darul Iman dan merosakkan lanskap di depan pusat pentadbiran kerajaan negeri itu juga adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dengan niat yang baik datang menemui penyokong Pas itu untuk mendengar dan menerima apa yang hendak disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Menteri Besar dan Ahli-ahi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedang bermesyuarat mingguan pada waktu itu.

Tindakan membuat halangan di pintu masuk utama juga menyebabkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan di pusat pentadbiran itu tidak dapat masuk ke Wisma Darul Iman, malah pegawai serta kakitangan yang ada urusan tugas di luar terpaksa membatalkan tugasan.

Sampah sarap dan sisa sisa makanan dibuang di merata-rata sejak malam tadi di atas lanskap dan hiasan berdekatan juga telah menampakkan betapa pengikut pembangkang ini tidak disiplin dan tidak mempunyai akhlak yang baik.