Halaman

17 March 2013

BN Telah Kotakan Janji Bantu Kurang Beban Rakyat

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Kerajaan BN mengotakan janji sejak memerintah negara selepas merdeka membantu rakyat dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka yang semakin meningkat.



Selain itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, bantuan seperti BR1M bertujuan memberi peluang kepada keluarga golongan miskin memajukan diri sendiri.

Beliau menyangkal anggapan yang mengatakan kerajaan BN bersungguh-sungguh membantu rakyat ketika hampir pilihan raya termasuk melaksanakan skim BR1M dengan tujuan untuk memancing undi.

"Sebaliknya ia merupakan usaha berterusan kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah sebelum dan selepas pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis penyampaian BR1M berjumlah RM410,000 kepada 810 penduduk di kawasan DUN Kijal di Pusat Latihan Antarabangsa Terengganu (ITC) di Teluk Kalong, Kemaman hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud dan Ketua Wanita UMNO Kemaman, Senator Rohani Abdullah.



Katanya, rakyat wajar berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengilhamkan idea bantuan tersebut.

"Bantuan itu semata-mata kerana sikap prihatin beliau terhadap rakyat miskin terutama di kawasan luar Bandar,” katanya.