Halaman

19 March 2013

Ayamazz buka peluang kepada usahawan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Haji Uzir Abdul Samad
Rakyat Terengganu yang berminat menceburi bidang keusahawanan tidak harus melepaskan peluang untuk menerokai perniagaan berasaskan makanan segera apabila Ayamazz Sdn Bhd bakal menawarkan peluang keemasan kepada mereka.

Ayamazz Sdn Bhd telah melantik Jati Bestari Sdn Bhd untuk memasar dan mempromosikan Ayamazz Roti Impit termasuk promosi, pengiklanan serta membuka lebih banyak kios Ayamazz Roti Impit di seluruh negara termasuk di negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Koperasi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (KOPUTERA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jati Bestari Sdn Bhd bagi projek Ayamazz Roti Impit, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jati Bestari Sdn Bhd, Haji Uzir Abdul Samad berkata, tiga pakej ditawarkan kepada usahawan yang berminat memulakan perniagaan Ayamazz Roti Impit.

"Pakej pertama ialah mini kiosk yang bernilai RM28,000, kedua kioks bernilai RM118,000 dan ketiga mini van bernilai RM128,000 dengan segala alat kelengkapan.

"Latihan dan nasihat turut diberikan kepada usahawan selain pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.


Ayamazz Roti Impit menawarkan program pelesenan pada kos berpatutan kepada semua warganegara Malaysia untuk memulakan perniagaan.

Ayamazz Roti Impit atau ‘Frank Buns’ adalah snek berasaskan konsep grab-and-go. Ia disediakan dalam tiga pilihan iaitu keju, cendawan dan lada hitam, Roti Impit disediakan dengan mengukus frankfurter dan roti serta dituang dengan sos Chillimayo yang direka khas.

Haji Uzir berkata, pihaknya merancang untuk meneroka pasaran terbuka secara agresif tahun ini dengan menyasar membuka 100 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.