Halaman

20 March 2013

10,000 penduduk Besut sertai Walk For Peace



Oleh: Mohammad Ishak 

Kira-kira 10,000 penduduk daerah Besut menyertai program berjalan kaki (Walk For Peace) sebagai tanda sokongan terhadap anggota pasukan keselamatan negara yang berjuang mempertahankan bumi Sabah.

Program anjuran Pejabat Daerah Besut dengan kerjasama UMNO Bahagian Besut mendapat sambutan luar dugaan apabila penduduk pelbagai peringkat dan keturunan menyertai acara berjalan kaki sebagai tanda sokongan terhadap pasukan keselamatan yang sedang berjuang di Lahad Datu.

Acara berjalan kaki bermula dari Dataran Jertih Souq ke Dataran Merdeka Kampung Raja sejauh 11 kilometer bermula jam 5 petang dan sampai ke distinasi kira-kira jam 6.45 petang.

Program diketuai Ketua UMNO Bahagian Besut,Dato’ Seri Idris Jusoh turut disertai wakil-wakil rakyat lain termasuk pegawai kanan kerajaan daerah Besut.

Semangat peserta jelas kelihatan ketika menyertai acara berjalan kaki dan berjaya menamatkan perjalanan tanpa sebarang halangan.

Sempena dengan program itu pelbagai pertubuhan sukarela, pihak sekolah, jabatan kerajaan turut menyampaikan sumbangan derma kepada Tabung Wira Lahad Datu yang diserahkan kepada Idris.

Sepanjang perjalanan dari tempat permulaan hingga ke destinasi terakhir konvoi kenderaan memperdengarkan lagu-lagu patriotik diikuti dengan nyanyian oleh peserta secara spotan.