Halaman

24 February 2013

Yakin BN Menang

Oleh: Suriati Ali 

 Mantan Ahli Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang serta Bukit Payong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 Katanya, keyakinan itu berdasarkan, BN kian diterima rakyat selepas pelbagai transformasi kepimpinan di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengutamakan kebajikan menyebabkan rakyat merasa tidak terpinggir.

 Pada masa yang sama, peranan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai kepimpinan BN dan Umno peringkat negeri pula sentiasa turun padang dan bersama rakyat tanpa mengira waktu dan tempat.

“Asas dan pendekatan itu turut meruntun jiwa rakyat tanpa mengira latar belakang, malah mereka di atas pagar juga mula menyebelahi kepimpinan beliau, sekali gus akan bersama-sama menyokong kerajaan,” katanya kepada pemberita di Rumah Kawat, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Abdul Rahman turut memberitahu, Pusat Bandar Marang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang merupakan antara bandar yang paling ketinggalan di segi pembangunan sejak 30 tahun lalu kerana berada di bawah pemerintahan pembangkang.

 Katanya, Rhu Rendang antara kawasan yang paling ketinggalan dalam arus pembangunan dan segala yang dikecapi penduduk hari ini merupakan `ehsan’ daripada Kerajaan Pusat.

 “Peruntukan dari aspek bantuan dan menyediakan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat mungkin sama sebagaimana kawasan lain, tetapi banyak pembangunan yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pusat seperti Kolej Matrikulasi yang diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU )Ke-12, terbengkalai selepas Parlimen Marang jatuh ke tangan Pas,” katanya.