Halaman

14 February 2013

TSG sasar duduki podium pertama

 Oleh: Suriati Ali 



 Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mensasarkan sekurang-kurangnya mampu menaiki podium tempat pertama pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.



Kejohanan yang akan berlangsung pada 21 Februari hingga 2 Mac 2013 itu menampilkan tujuh pelumba profesional tempatan yang diberi kepercayan untuk menduduki tangga terbaik pada kejohanan berprestij itu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri percaya semua pelumba tempatan yang dipertaruhkan itu mampu bersaing setaraf pelumba asing.

“Kita mempunyai rekod tersendiri dengan mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, antaranya berupaya menduduki tangga pertama daripada 68 pasukan sehingga menjadikan Malaysia berada di kedudukan ke 3 daripada 18 negara.

 “TSG juga telah menyertai 20 kejohanan di bawah kelendar Union Cycliste International (UCI) di mana 16 kejohanan di luar negara dan empat dalam negara , manakala lapan kejohanan di bawah kalendar Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang akan diadakan dalam negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perkenalan Tujuh Pelumba TSG 2013, di Pentas Budaya, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Pelumba-pelumba TSG yang diperkenalkan itu adalah Mohd Harrif Salleh,25, Mohd Shahrul Mat Amin, 24, Mohammad Saufi Mat Senan, 23, Mohd Nor Umardi Rosdi, 27, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, 21, Mohd Zamri Salleh, 30 dan Mohd Saiful Anuar Aziz, 27.

Pada majlis sama, Menteri Besar bersama tertamu kehormat dan lebih 200 ahli persatuan dan kelab-kelab berbasikal negeri turut menyertai Program Kayuhan Malam bertujuan mempromosi penganjuran LTdL 2013.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu TSG telah menjalani pelbagai latihana insentuf di Terengganu dan mengadakan kem di sekitar laluan LTdL sebagai persediaan untuk menghadapi saingan LTdL.