Halaman

26 February 2013

TDM capai lebih 80 peratus fasa pertama perladangan di Kalimantan

Oleh: Aida Abd Rahman

TDM Bhd mencapai lebih 80 peratus daripada sasaran 10,000 hektar kelapa sawit untuk fasa pertama di Kalimantan, Barat Indonesia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata TDM yang merupakan sektor utama dalam perladangan negara itu dijangka dapat mencapai sasaran yang ditetapkan berdasarkan pertumbuhan baik pengurusan tanaman itu sehingga kini.

 “Saya masih belum melawat kawasan itu kerana saya menetapkan sasaran selagi tidak sampai 10,000 hektar, saya tidak akan ke perladangan itu.

“TDM memaklumkan kepada saya mengenai perkembanan baik perladangan di sana dan mereka memaklumkan sehingga Januari lalu, kita sudah menanam 8,200 hektar kelapa sawit.,” katanya di Majlis Penuaian Hasil Buah Tandan Segar (BTS) Sawit, di Projek Felcra Bhd Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman, baru-baru ini.

Syarikat itu mensasarkan untuk menanam 40,000 hektar kelapa sawit di Kalimantan mengikut beberapa fasa.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri berusaha untuk menambah jumlah keluasan ladang di Kalimantan menerusi kerjasama beberapa syarikat perladangan termasuk anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Rakyat.

Katanya, tanah yang sesuai bagi perladangan kelapa sawit semakin terhad di negeri ini terutama di Terengganu.

Sehubungan itu, pihaknya merancang untuk tidak lagi menyerahkan tanah kepada Felda dan Felcra bagi menanam tanaman komoditi itu melainkan kepada anak syarikat negeri seperti TDM Bhd, Ladang Rakyat dan Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

 “Malahan kita sedang mencari tanah 20,000 hektar , sampai sekarang tidak jumpa. Kita baru menanam 2,400 hektar ladang kelapa sawit di Dungun menerusi Ladang Rakyat yang bertujuan membantu golongan miskin.

“Saya sasar untuk tanam paling kurang 20,000 hektar . Jika dengan harga sebelum pasaran kelapa sawit jatuh, senang-senang kini boleh mengaut keuntungan RM50 juta setahun,” katanya.

 Beliau berkata, keuntungan yang dijana menerusi perladangan itu boleh digunakan bagi pembiayaan bantuan am kebajikan masyarakat di seluruh Terengganu, sementara peruntukan kerajaan yang lain boleh digunakan untuk kerja pembangunan.

Pada masa ini TDM menguruskan 12 ladang sawit berjumlah 35,000 hektar di Terengganu dan dalam usaha pengembangan di Kalimantan Barat.

Operasi Indonesia itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bermula 2012.