Halaman

03 February 2013

Sekolah dalam hospital beri manfaat kepada pesakit

Oleh; Esah Abdullah

ExxonMobil memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai program kecemerlangan pendidikan termasuk mewujudkan ‘sekolah kita’ dihospital dan modal insan di negeri ini setiap tahun.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Hubungan Kerajaan ExxonMobil Subsidiari, ExxonMobil Malaysia, Encik Farid Jaafar berkata, ini merupakan salah satu program di bawah tanggungjawab sosial korporat untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

“Setakat ini dua ‘sekolah kita' diwujudkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan hospital Kemaman yang memberi manfaat besar kepada pesakit kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan persekolahan kerana menerima rawatan.

“Kita menyediakan dana bagi menggerakkan kelas itu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk komputer dan bahan bacaan di samping suasana yang menceriakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan Pengerusi Subsidiari ExxonMobil Malaysia, J. Hunter Farris ke 'Sekolah Kita' di HSNZ bagi meninjau perkembangannya setelah dinaik taraf.

Katanya,'sekolah kita' memberi peluang kepada pesakit kronik dan talasemia di wad pediatrik yang menerima rawatan panjang atau pesakit yang kerap menerima rawatan harian dan membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan aktiviti pembelajaran secara santai dalam suasana menggembirakan.

Menurutnya, kelas ini mendapat bantuan tenaga pengajar daripada pelajar Fakulti Bahasa Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) yang mengajar secara sukarela setiap minggu secara bergilir.

"Pada masa ini terdapat antara 15 hingga 20 kanak-kanak dalam satu masa dan ExxonMobil bersedia untuk menimbang peruntukan tambahan bagi memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat," ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus ketika menyampaikan taklimat ringkas mengenai perjalanan 'Sekolah Kita' mengucapkan terima kasih kepada ExxonMobil yang terus memberi komitmen terhadap program itu.

Menurutnya pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan telah meluluskan pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital di HSNZ mengikut konsep sekolah harian biasa pada tahun lalu tetapi belum dapat dilaksanakan kerana kemudahan premis yang terhad.