Halaman

10 February 2013

RM7 juta untuk transformasi fizikal premis perniagaan

Oleh; Esah Abdullah

Program Penjaja 1Malaysia (PPIM) yang diperkenalkan bertujuan menaiktaraf kawasan fizikal perniagaan yang lebih bersih dan menarik.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, penekanan diberi kepada penyediaan makanan yang sihat kepada pelanggan serta suasana persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

“Peruntukan RM7 juta disediakan untuk transformasi fizikal premis-premis perniagaan penjaja dan peniaga kecil di kawasan sedia ada,” katanya di majlis Bicara Pengguna di Dewan Majlis Daerah Marang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Dato’ Md Arif Abdul Rahman dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar.

Selain itu katanya, sebanyak 85 buah Kedai 1Malaysia (KRIM) berjaya dibuka di seluruh negara sehingga akhir tahun lalu dan tiga daripadanya dibuka di negeri ini.

Manakala terdapat 3,228 buah premis menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MRIM) yang diperkenalkan dan daripada jumlah tersebut 319 buah dibuka di negeri ini.

“Program ini adalah antara usaha kerajaan membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat di mana dalam program ini pakej sarapan pagi serendah RM2 dan makan tegahari berharga RM4,” katanya.

Dalam program TUKAR pula terdapat 35 buah kedai runcit daripada 568 buah di seluruh Negara telah ditransformasikan di negeri ini dan ia berjaya meningkatkan hasil jualan dengan kaedah pengurusan perniagaan lebih sistematik serta menjadi tumpuan ramai.

Selain dari trasformasi kedai runcit, bengkel-bengkel kenderaan juga turut diperkemaskan dan sebanyak 15 buah bengkel di Terengganu telah menyertai program ini.

Dato’ Sri Ismail Sabri kemudiannya telah meluluskan sebuah KRIM bagi daerah Marang, sebuah van jenazah untuk kegunaan rakyat tempatan dan bersetuju memberi peruntukan untuk menaiktaraf 16 gerai makan yang terletak di hadapan pasar besar bandar Marang.