Halaman

07 February 2013

Pusat Khidmat Rakyat sempena Jelajah Anak Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

`Rakyat Service Centre’ (RSC) sempena program Jelajah Anak Malaysia (JAM) yang diadakan di perkarangan pasar raya Hock Kee Seng, Gong Badak, dua hari bermula hari ini, dijangka menjadi lokasi tumpuan ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh 16 agensi kerajaan.

RSC yang menyediakan kaunter perkhidmatan melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Pendaftaran Negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Majlis Amanah Rakyat, Tekun Nasional, Majlis Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Job Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pengerusi Gabungan Generasi Muda (G2M), Encik Mohd Shahar Abdullah, berkata pihaknya mensasarkan kira-kira 5,000 penduduk khususnya dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan mengunjungi RSC .

“Jika sebelum ini kita merasakan hanya kerajaan dan kementerian sahaja yang dapat mengatur satu karnival yang dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat. Bagaimanpun anak muda bersama badan bukan kerajaan (NGO) juga mampu menganjurkan Rakyat Service Centre menerusi 16 kaunter perkhidmatan dan pameran oleh enam agensi.

“Kita mahu mahu anak muda sebgai agen transformasi kepada rakyat, juga mampu menghubungkan agensi dan kementerian yang dekat di hati rakyat,” katanya di sidang akhbar di Pejabat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), hari ini.

Encik Mohd Shahar yakin dengan sambutan baik bakal diterima di Terengganu berdasarkan perkembangan di empat lokasi RSC sebelum ini, iaitu di Sungai Siput, Perak (2 hingga 3 Februari); Balik Pulau, Penang (3 hingga 4 Februari) dan Jerai, Kedah (4 hingga 5 Februari).

Katanya, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara umpamanya, menerima sambutan amat menggalakkan apabila 300 hingga 400 pengunjung mendapatkan perkhidmatan untuk menukar kad pengenalan baru menyebabkan pihak berkenaan terpaksa melanjutkan masa perkhidmatan sehingga dua jam kemudian.

Selepas Terengganu, pihaknya akan mengadakan RSC di Pekan, Pahang (8 hingga 9 Februari); Sembrong, Johor (9 Februari); Hulu Langat, Selangor (12 hingga 13 Februari) dan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur (13 hingga 14 Februari).

Jelajah Anak Malaysia anjuran mahasiswa, belia dan NGO di bawah G2M dengan bertemakan transformasi rakyat bakal menjelajah ke 35 lokasi seluruh negara bermula di Putrajaya 30 Januari lalu, berada di Terengganu sebagai lokasi kelapan program dua hari satu malam mereka.

Penggerak program yang terdiri daripada 200 mahasiswa dan belia NGO akan berkampung di setiap destinasi bagi melaksanakan pelbagai acara kemasyarakatan seperti RSC, Suara Rakyat, KAM1 Prihatin, Rakyat Cergas, Jelas Rakyat, santai Rakyat dan Kuliah Rakyat.