Halaman

23 February 2013

Program KJK pupuk semangat perpaduan

Oleh: Noraini Jusoh

Program Kenali Jiran Kita (KJK) anjuran Jabatan Penerangan peringkat Negeri Terengganu telah diadakan di Perumahan Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu, semalam.


Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman berkata, Terengganu merupakan negeri perintis kepada program yang bakal dilancarkan di seluruh negeri pada 15 Mac depan.

"Program KJK bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan meningkatkan nilai-nilai murni di kalangan penduduk setempat.

"Pada 15 Mac ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim sendiri yang akan melancarkan program ini secara besar-besaran, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Program Kenali Jiran Kita di Flat Bukit Kecil, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawantankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh; Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato' Haji Wan Hisham Wan Salleh; serta Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Hajah Azizah Awang.

Katanya, Flat Bukit Kecil dipilih untuk menjadi perintis kepada program ini kerana terdapat kaum Melayu, Cina dan India di kawasan terbabit.

"Walaupun berlainan agama dan budaya, masyarakat disini mengamalkan sikap toleransi yang membolehkan mereka hidup aman damai sebagai komuniti 1Malaysia,” katanya.