Halaman

27 February 2013

Penerima BR1M kesal dengan sikap pemimpin Pas

Oleh: Suriati Ali 

“Saya cukup terasa apabila mendengar berita pemimpin Pas menyamakan penerima Batuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan tertentu dan bodoh.

 “Tidak wajar mereka menghina rakyat seumpama itu kerana kami sebagai penerima yang kebanyakannya berpendapatan rendah mempunyai hati dan perasaan,” kata seorang penerima, Puan Zarina Abdullah, 45 dari Kampung Batu Rakit.


Dia antara lebih 700 penerima bagi kawasan Parlimen Setiu hadir pada Majlis Pengagihan BR1M di Dewan Sivik, Baru Rakit, hari ini.

Puan Zarina, berkata apabila difikirkan balik, mungkin pemimpin itu iri hati dengan kerajaan di mana mampu melaksanakan apa jua kebajikan untuk rakyat dan tidak bagi pembangkang.

 Seorang lagi penerima, Razak Mamat, 55, memberitahu pelik dengan sikap pemimpin pembangkang kerana sanggup menghina penerima BR1M sedangkan pemimpin itu sendiri mengakui dirinya memiliki ilmu agama tinggi dan bergelar tok guru.

“Sebagai orang yang berilmu, sepatutnya tahu kaedah menegur jika menyedari mana-mana pemimpin atau rakyat melakukan kesalahan,” katanya.

 Suhadi Ibrahim, 35, berkata jutaaan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak jemu-jemu membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

 “Apa yang diterima ini cukup bermakna buat keluarga terutama bagi isteri dan anak-anak membeli barangan dapur serta keperluan sekolah.

 “Jika saya bekerja seminggu pun belum tentu dapat wang sebanyak ini, kerana gaji yang dibayarkan majikan hanya RM50 sehari,” katanya yang bekerja sebagai buruh.