Halaman

20 February 2013

Pembinaan Pasar Payang baru akan diteruskan-MB

Kerajaan Negeri akan meneruskan projek pembinaan Pasar Payang baru kerana bangunan itu disahkan tidak selamat lagi.
Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan Pasar Payang baru empat tingkat yang berhawa dingin walaupun ada bantahan pihak tertentu, khususnya pembangkan kerana bangunan itu disahkan sudah tidak selamat didiami.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan pula keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, bocor dan kotor, tidak sesuai dengan imej Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

 “Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat.

“Kita laksanakan semua itu untuk kemudahan orang ramai, terutama peniaga dan pelancong, bukannya seperti yang diperkatakan pihak tertentu, terutama pembangkang yang mendakwa mahu membunuh warisanTerengganu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Pelancaran Tabung Warisan, di Ri-yaz Heritage, Marina Resort & Spa Kuala Terengganu malam tadi.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia kesal dengan dakwaan pembangkang yang sengaja membangkitkan kemarahan orang ramai walaupun menyedari pembangunan dilaksanakan itu untuk kepentingan masa depan.

Dalam laporan Teganukita sebelum ini ada menyatakan Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin, tidak lama lagi.

 Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

 “Projek ini melibatkan pelaburan lebih RM400 juta dan akan dilaksanakan oleh syarikat swasta yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan penghujung tahun ini,” katanya.