Halaman

04 February 2013

Pembangunan kampus kedua UMT berjalan lancar

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memulakan pembangunan kampus kedua universiti itu di kawasan seluas 600 hektar di Bukit Kor Marang mulai tahun ini.

Naib Canselor (NC) UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, dalam fasa pertama (2013-2015) tumpuan akan diberi kepada penyediaan perancangan keseluruhan dan pembangunan kemudahan dan makmal luar untuk Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM).

“Pada fasa ini UMT akan menyediakan infrastruktur asas seperti jalan, pejabat dan asrama untuk kemudahan pelajar ,” katanya dalam sidang media di majlis Syarahan Tahunan NC 2013 'Membina Akademik Berbudaya Cemerlang' di UMT hari ini.

Katanya, penyediaan kemudahaan asas berkenaan menggunakan peruntukan dalaman universiti berjumlah RM600,000 sebagai persediaan untuk mendapatkan dana dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Usaha ini membolehkan aktiviti latihan lapangan dan penyelidikan dijalankan oleh pelajar di samping memberi perhatian kepada komuniti yang telah menyewakan sebahagian daripada kawasan ladang untuk aktiviti pertanian," katanya..

Menurutnya, dengan cara ini, jaringan dan proses pemindahan ilmu antara universiti dan komuniti dapat dilaksanakan secara berkesan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, mulai tahun ini pihaknya akan memulakan aktiviti penambahbaikan ekosistem akademik melalui Program Kampus Lestari.

“Tumpuan akan diberi kepada sistem pengangkutan dalam kampus yang mesra penjalan kaki dan berbasikal dengan menyediakan kawasan riadah berasaskan warisan tabii serta meningkatkan kebersihan melalui program kitar semula,” katanya.

Katanya, pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif memerlukan persekitaran kampus yang selesa, mesra pelajar dan mesra alam sekitar . Sehubungan itu katanya, jawatankuasa Kampus Lestari telah diwujudkan untuk merancang dan melaksanakan program tersebut.