Halaman

06 February 2013

Pasti tunai janji bina 1,000 rumah, jika Batu Burok menang

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali lagi mengulangi janji beliau sebelum ini, untuk membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.



 Katanya, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan berpaya bagi pembinaan rumah berkenaan dengan kos pengambilan balik tanah menelan belanja berjuta ringgit.

 “Penduduk di Batu Burok perlu ingat satu perkara saja iaitu memilih pemimpin yang berkaliber dan bertanggungjawab pada pilihan raya nanti, sekiranya mahu melihat kawasan ini benar-benar berubah wajah.

“ Sudah tiba masanya untuk penduduk Batu Burok menamatkan tempoh 26 tahun `bergelap’ di bawah kepimpinan Pas yang hanya pandai berceramah dan memutarbelit fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penduduk Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Dato Wan Salleh; Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, demi tanggungjawab dan dasar keprihatinan kerajaan BN, kita tetap menyalurkan keperluan dan peruntukan bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

 Beliau menaruh harapan dan keyakinan penduduk di DUN itu bakal melakukan anjakan dan membuat keputusan yang tepat bagi mengembalikan kawasan itu kepada BN pada pilihan raya nanti..