Halaman

10 February 2013

Pasar borong bernilai RM50 juta bakal dibina di Bukit Payong

Oleh: Noraini Jusoh

Pasar borong bernilai RM50 juta yang akan dibina di Bukit Payong, Marang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk memasarkan produk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, kerajaan negeri telah merancang pembinaan pasar borong tersebut sejak tahun 2006 lagi, tetapi tertangguh kerana beberapa masalah tertentu.

"Tapak pasar borong berkenaan seluas kira-kira 20 hektar sudahpun siap sepenuhnya.

"Cuma masalah yang dihadapi adalah berkaitan dengan laluan masuk kerana kedudukannya di tepi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dimana menyukarkan lori-lori dari Cameron Highlands contohnya untuk menghantar sayur-sayuran kepada peniaga di pasar borong terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan Kepada Peladang, Penternak dan Nelayan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu Tahun 2012 dan Kursus Usahawan Peladang di Wisma Peladang Negeri, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun Haji Asha’ari berkata, masalah tersebut telah dibincang dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jalan penyelesaiannya telah ditemui.

Katanya, setelah semua masalah selesai pembinaan pasar borong tersebut akan dilaksanakan tidak lama lagi dimana bakal menempatkan 120 sehingga 130 peniaga apabila siap sepenuhnya nanti.

"Para petani dan nelayan khususnya sangat memerlukan pasar borong ini kerana itulah tempat terbaik untuk mereka menjual hasil pertanian dan hasil laut terutamanya kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Katanya, dengan terbinanya pasar borong itu nanti diharap dapat menyelesaikan masalah peniaga kerana di situlah sebahagian besar daripada rangkaian produk pemasaran mereka.