Halaman

04 February 2013

Pas mula perang dengan DAP

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Baru seminggu Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, melakukan kejutan terbesar dalam sejarah kepimpinan parti itu apabila menyambut hari jadinya di rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh.



Belum pun reda keriuhan di kalangan pemimpin Pas dan penyokong parti itu mengenai sambutan hari jadi yang luar biasa itu, hubungan antara pemimpin Pas dan DAP itu kini memasuki episod baru.

Semalam Nik Abdul Aziz memberi amaran kepada pemimpin DAP itu supaya tidak campur tangan urusan dalaman dan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan Pas.

Menteri Besar Kelantan itu dengan lantang bersuara DAP tidak perlu ‘jadi pandai’ kerana ahli-ahli Pas sahaja yang tahu keadaan sebenar berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau menegaskan Pas tetap dengan pendirian mereka bahawa kalimah berkenaan tidak boleh digunakan oleh masyarakat bukan islam seperti yang diputuskan oleh Majlis Syura Pas.

Setelah membisu sejak lebih seminggu, Karpal Singh membuat kenyataan kelmarin bahawa pakatan pembangkang tetap dengan pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam seperti yang diputuskan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini, termasuk dari Pas.

Mungkin selepas ini ramai lagi pemimpin Pas akan bangkit mempertahankan pendirian Majlis Syura dan sudah pasti ia akan menyemarakkan api perbalahan antara Pas dengan DAP.

Pertembungan pendapat dan perbalahan antara pemimpin Pas dan DAP memang dijangkakan dan ramai pihak meramalkan hubungan kedua-dua parti itu tidak akan kekal lama. Ini kerana kedua-dua parti itu tidak akan mampu mencapai kata sepakat dalam banyak hal kerana masing-masing mempunyai agenda politik mereka sendiri.

Selama ini Pas terlalu banyak tunduk kepada desakan DAP demi bagi menjaga hubungan antara kedua-dua parti tersebut. Antara pengorbanan terbesar yang telah dilakukan oleh Pas dalam menjaga hubungannya dengan DAP ialah mereka terpaksa mengorbankan ramai pemimpin kanan parti itu yang kurang senang dengan hubungan antara Pas dan DAP.

Di antara mangsa pemimpin Pas akibat parti itu tunduk kepada DAP ialah Dato’ Dr Hassan Ali dan terbaru bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa.

Justeru tidak hairanlah jika ramai pihak meramalkan lebih ramai pemimpin kanan parti itu sama ada dipecat atau akan keluar dari Pas kerana tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan Pas bergabung dengan DAP bagi menentang Barisan Nasional (BN).