Halaman

12 February 2013

LPP Terengganu kenal pasti tapak TKPM baru

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu sedang mengenal pasti tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baru bagi dijadikan mini TKPM.

Pengarahnya, Tuan Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, terdapat empat TKPM sedia ada di negeri ini iaitu di Marang, Setiu, Besut dan Kemaman tetapi lokasinya jauh dari penempatan penduduk.

"Jumlah TKPM sedia ada belum mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang kian meningkat.

"Selain itu, kesan pembangunan juga akan menyebabkan kawasan pengeluaran makanan mengecil dan bagi mengelakkan kawasan pengeluaran makanan ini pupus, kita akan berusaha mencari kawasan khusus untuk dijadikan tapak TKPM baru dan mini TKPM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan kepada Peladang, Penternak dan Nelayan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2012 dan Kursus Usahawan Peladang di Wisma Peladang Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, setakat ini belum ada kawasan khusus yang dikenal pasti untuk dijadikan tapak baru bagi menjalankan projek TKPM.

"Bagi menampung kuantiti pengeluaran makanan, kita mungkin akan membangunkan tanah rezab jabatan-jabatan kerajaan yang belum digunakan bagi mewujudkan mini TKPM.

"Dengan adanya mini TKPM, selain dapat menyumbang kepada pengeluaran makanan negara, ia juga dapat memberi peluang kepada pengusaha untuk menambah pendapatan, contohnya dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara lesen sementara di atas tapak tersebut,” katanya.