Halaman

22 February 2013

Kerajaan BN mampu laksana pembangunan

 Oleh: Suriati Ali Kerajaan Barisan Nasional (BN) yakin pembangunan yang dirancang di seluruh bandar Kuala Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang hanya akan berjalan lancar, sekiranya parti mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pelbagai pembangunan yang sudah dirancang serta bakal dibangunkan di seluruh Bandar Raya Kuala Terengganu itu juga turut memberi manfaat kepada 20,000 pengundi Tionghua yang tinggal di kawasan itu.

 “Antara pembangunan itu, bangunan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu 30 tingkat dan satu lagi blok bangunan di Kampung Tanjung dengan reka bentuk yang sama setinggi 31 tingkat.

“Kita akan melakukan semua ini dalam masa lima tahun akan datang, sebab itu kita perlukan mandat baru dan memenangi PRU13 dengan kemenangan yang besar,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam bersama Masyarakat Cina, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

 Menteri Besar berkata, bukan hanya sokongan diperlukan, masyarakat Tionghua juga diingatkan tidak terpengaruh dengan desakan dan propaganda pihak luar memandangkan apa yang sudah dikecapi semua kaum di negara ini kini amat selesa, harmoni dan terhindar dari masalah.

 “Saya sebenarnya bersifat terbuka, kata orang, `ada ubi ada batas, ada hari boleh balas’. Kita tidak minta pergi berperang, atau sebagainya.

Cuma minta dalam tempoh lima tahun sekali pergi menunaikan tanggungjawab mengundi itu sahaja.