Halaman

14 February 2013

Kerajaan BN iktiraf peranan NGO

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan kuasa ketiga dalam sesebuah negara selepas kerajaan Pusat dan negeri serta parti poiitik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Haji Ahmad Maslam berkata, NGO main peranan penting ke arah memacu pembangunan dan kemajuan negara.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf peranan mereka dan mengadakan perhimpunan di setiap negeri untuk mendengar suara dari akar umbi,” katanya dalam sidang media di majlis Himpunan Barisan 1Malaysia Peringkat Negeri Terenganu di Taman Tamadun Islam hari ini.

Oleh itu katanya pemimpin dan jawatankuasa NGO perlu mendapatkan isu sebenar mengenai dasar-dasar negara dan isu semasa melalui pelbagai cara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan ucaptama dan perasmian penutup majlis berkenaan.



Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Pengerusi Sekretariat Himpunan Barisan 1Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Biro Tata Negara, Datuk Raja Arif Raja Ali.

Menurutnya, terdapat 240 NGO membabitkan lebih 3,000 orang hadir hari ini dan Terengganu menjadi negeri keempat yang menganjurkan perhimpunan selepas majlis pelancaran yang dilakukan Perdana Menteri di PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini diikuti Sabah, Perlis dan Negeri Sembilan.

 “Terdapat 14 siri perhimpunan NGO akan diadakan di seluruh negara termasuk di negeri yang dikuasai pembangkang di mana ketua negeri atau menteri di negeri yang kalah akan menjadi perasmi kepada program ini,” katanya.

Katanya, beliau diberi tanggung jawab untuk menjaga NGO dan berperanan sebagai jambatan penghubung antara pertubuhan dengan kerajaan Barisan nasional (BN).

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan NGO dan sentiasa bersikap terbuka serta sedia mendengar pandangan, cadangan untuk kebaikan semua pihak,” katanya.