Halaman

01 February 2013

ETA bantu pelajar yakin berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 20 daripada 75 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini ditempatkan di beberapa sekolah terpilih di Terengganu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, mereka kini sedang mengikuti minggu orientasi untuk mempelajari budaya dan agama masyarakat di negara ini sebelum memulakan tugasan rasmi di sekolah yang telah ditetapkan.



"Tahun ini penempatan ETA melibatkan empat buah negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu dan Perak.

"Sejak diperkenalkan lapan tahun yang lalu di Terengganu, program ini memberikan impak yang positif dalam peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Bersama Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad di Dewan Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir, semalam.

Katanya, setelah mendapat tunjuk ajar daripada ETA, pelajar di Terengganu dilihat semakin berkeyakinan tinggi untuk berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris.

"Kebanyakan ETA menggunakan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan seperti pembelajaran luar kelas serta penggunaan alat bantuan mengajar yang dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris.

"Selain itu, dengan adanya khidmat ETA juga, guru-guru kita dapat berkongsi pengalaman serta ilmu untuk menambahbaik kaedah pengajaran dan pembelajaran sedia ada supaya para pelajar lebih yakin untuk berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.

Katanya, antara masalah utama pelajar di Terengganu adalah kurang keyakinan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, justeru dengan adanya ETA, di harap sedikit sebanyak masalah ini dapat diatasi.