Halaman

13 February 2013

Bagai mimpi dapat tawaran tunai haji -Presiden MPP

Oleh; Esah Abdullah

“Tiada kata-kata yang mampu saya luahkan selain mengucap syukur dan terima kasih kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 “Memang saya tidak pernah menduga dan seperti bermimpi peluang ini datang kepada saya,” kata Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Encik Mohammad Marzuqi Zainal Adlan, 24,

Beliau telah tersenarai antara ketua MPP tiga universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang ditawarkan oleh kerajaan untuk menunaikan fardu haji ke Makah tahun ini.

Perkara berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Haji Jailani Ngah dalam Majlis Lawatan dan Ucapan bersama Pensyarah,Kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA semalam.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu melahirkan rasa gembira kerana pemergian ke Baitullah merupakan impian semua umat Islam di dunia ini.

Mengulas keberkesanan transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan hari ini beliau melahirkan rasa kagum dengan wawasan kepimpinan negara yang tidak memingirkan ulamak sebaliknya menjadikan ia tunggak utama dalam apa juga urusan pentadbiran negara.

“Saya doakan pucuk pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib meneruskan wadah yang mulia itu demi kejayaan ummah di negara ini serta mendapat kejayaan dan kemakmuran sepanjang hayat,” katanya.

Katanya, usaha Perdana Menteri memberi fokus dan pengiktirafan kepada ulamak merupakan suatu yang dibanggakan oleh seluruh rakyat sambil mengharapkan agama suci Islam terus berada ditakhta paling atas dalam apa juga perancangan yang dilaksanakan serta menjamin keharmornian negara.