Halaman

27 February 2013

1.3 juta pelajar dapat manfaat baucer buku 1Malaysia

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan telah menaikkan nilai Baucer Buku Rakyat 1Malaysia (BBIM) RM250 tahun ini berbanding RM200 tahun lalu yang melibatkan peruntukan RM325 juta dan memberi manfaatkan kepada 1.3 juta pelajar seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, baucer yang diberikan ini dilihat dapat membantu melonjakkan pencapaian pendidikan melalui insentif pembelian buku serta pameran yang diadakan.

“Kerajaan amat perihatin terhadap kebajikan peajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan sentiasa menyediakan peruntukan khusus khasnya melalui program pemberian Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) kepada semua pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan BB1M dan perasmian Pameran Penerbitan Ilmiah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2013 di Dewan Sultan Mizan UMT petang semalam.

Hadir sama naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili dan Pengarah Pusat Pembelajaran Digital Sultanah Nur Zahirah, Prof Dr Md Yazid Mohd Saman.

 “Keperihatinan pihak universiti bagi memastikan penggunaan baucer secara maksima pastinya memberi manfaat kepada pelbagai pihak samaada pembeli atau pembekal buku.

“Penganjuran pameran ini memberi peluang pelajar untuk menukarkan baucer yang diperolehi sekali gus menggalakkan budaya membaca dikalangan warga kampus dan akan lahirlah pembaca yang terbuka minda dan mantap pengisian ilmunya,” katanya yang juga merupakan Menteri Mentor UMT.

Tambahnya, selain memanfaatkan buku sebagai santapan minda, hala tuju pelajar juga perlu selari dengan kehendak dan kemajuan teknologi IT dan ICT di mana semua maklumat kini berada dihujung jari.

 “Ia boleh diakses dengan lebih cepat tanpa halangan fizikal, geografi ataupun masa dan inilah sebenarnya dunia tanpa sempadan atau perkampungan sejagat yang mengambarkan ilmu pengetahuan kini menjadi nadi kekuatan dalam menghadapi dunia yang lebih terbuka dan mencabar,” katanya.

Dato’ Sri Ahmad Shabery kemudiannya berdailog dengan pelajar dan seterusnya menyerahkan baucer buku kepada pelajar-pelajar UMT.