Halaman

05 January 2013

Zizan Raja Lawak duta TMT 2013

Oleh: Suriati Ali 

Menteri Besar bersama angota Exco Kerajaan Negeri merasmikan pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013
Kerajaan negeri melantik Zizan Raja Lawak atau Mohd Razizan Abdul Razak sebagai duta Tahun Melawat Terenganu (TMT) 2013 bagi mempromosi dan memperkenalkan negeri ini kepada pelancong luar Terengganu secara berkesan.



 Langkah itu dianggap bertepatan kerana Zizan yang juga anak jati Dungun, Terengganu dijangka mampu memikul tugas dengan cara tersendiri, termasuk mempromosi loghat Terengganu kepada masyarakat umum.

 Beliau merupakan anak bongsu daripada dua beradik pernah merangkul naib juara Raja Lawak musim pertama dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata TMT 2013 akan menjadi pemangkin kepada Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun depan. Pengalaman kita melancarkan TMT 2008, memberi banyak kelebihan untuk menarik pelancong mengunjungi ke Negeri Cantik Budaya Menarik itu.

 "Dengan keunikan Terengganu yang mempunyai beraneka destinasi menarik seperti pulau, pantai, air terjun, tasik dan lain-lain yang menjadi buruan pelancong, sudah pasti sasaran kita untuk menarik empat juta peloancong ke Terenggnau akan tercapai," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika melancarkan TMT 2013 di pekarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, isteri Menteri Besar To' Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Dato' Ahmad kemudiannya memakaikan jaket TMT 2013 kepada Zizan sebagai tanda simbolik pelantikan duta.

 Pada masa sama, Menteri besar turut melancarkan pasukan berkuda Tindakan Cemas Malaysia Cawangan Negeri Terengganu setelah ia ditubuhkan bulan lepas.

Pasukan berkuda yang terdiri daripada lima pegawai dan 20 anggota berkuda berunifom ditubuhkan bagi menjayakan visi TMT 2013 dan ia akan memberi khidmat di Pantai Batu Buruk pada setiap hujung minggu.

 Manakala 100 orang penggiat pelancongan negeri itu telah mengadakan bacaan ikrar di hadapan Ahmad bagi membantu kerajaan menjayakan TMT 2013 dengan cemerlang.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, sektor pelancongan yang akan menjadi tulang belakang ekonomi Terengganu pada masa depan menjadi lebih menarik apabila Tasik Kenyir yang akan dijadikan Tasik Bebas Cukai akan dibuka pada Ogos tahun depan.

 "Kita harap dengan pembukaan tasik bebas cukai berkenaan, kedatangan pelancong ke negeri ini akan bertambah pada tahun-tahun akan datang," katanya.