Halaman

07 January 2013

Wanita kumpul dana bantu umat Islam di Gaza

Oleh; Esah Abdullah

Tersentuh melihat penderitaan umat Islam di Semenanjung Gaza, Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu (PWUPNT) mengambil inisiatif mengumpul dana tujuan meringankan beban masyarakat di sana.
Datuk Hajah Fatimah Hamat menyampaikan replika cek kepada Cik Aslina Abu Bakar  wakil  Kumpulan Media Prima sebagai simbolik kepada penyerahan bantuan kepada umat islam di Gaza
 Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, sebagai saudara seagama wanita sangat bersimpati terhadap apa yang berlaku di negara berkenaan dan sedia membantu meringankan beban.

“Setiap program yang dijalankan kita minta wanita menderma bagi mengisi tabung untuk disumbangkan kepada umat Islam yang menderita di bumi Gaza,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Cek Bantuan Untuk Gaza di Bilik Mesyuarat UMNO Perhubungan Negeri Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita (KW) UMNO Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah; KW Dungun, Hajah Zainun Abu Bakar; KW Marang, Senator To’ Puan Hajah Zaiton Mohd Amin; KW Setiu, Hajah Wan Maznah Nong; KW Besut, Hajah Engku Naimah Engku Taib; Naib KW Kuala Terengganu, Hajah Muni Abdul Kadir dan Naib KW Kuala Nerus Puan Norhayati Ismail.

 “Program yang sering diadakan seperti semarak kasih, tadarus al-Quran, salam sayang dan sebagainya dalam usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya yang juga KW Hulu Terengganu.

Katanya, sebelum ini wanita juga pernah menghulurkan bantuan kepada mangsa tsunami dan juga sentiasa peka dengan penderitaan umat Islam di luar negara yang sering ditindas oleh kaum zionis.

PWPUNT berjaya mengumpul RM13,863 jumlah keseluruhan melalui program dan aktiviti yang diadakan di lapan bahagian wanita yang dimulakan sejak enam bulan lalu.

Datuk Hajah Fatimah kemudiannya telah menyerahkan replika cek RM13,863 kepada wakil Kumpulan Media Prima Berhad Cik Aslina Abu Bakar.