Halaman

05 January 2013

Usia bukan penghalang cari rezeki halal

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Mencari rezeki dengan menjual hasil tanaman dalam keadaan bersila atas tikar pastinya tidak begitu selesa. Namun, bagi warga emas yang berniaga di Hari Giliran (pasar pagi) Kuala Berang, semua itu bukan persoalan utama bagi mereka.

Sebaliknya, kepuasan melebihi segalanya kerana ada peniaga warga emas ini berniaga bukan hanya untuk mencari rezeki tetapi sekadar melengkapi rutin hidup mereka kerana sudah lama melakukannya.

Rata-rata peniaga warga emas ini mengakui selain mencari rezeki mereka berniaga hanya untuk mengisi masa lapang kerana jika tidak berniaga pada setiap Rabu dan Sabtu, hidup mereka terasa tidak lengkap.

Peniaga, Tuan Maznah Tuan Baharu, 72, dari Kampung Kuala Pueh berkata, dia sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang itu sejak hampir 20 tahun lalu dan itulah rutin kehidupan yang kini ia bagaikan nadi serta sebati dengan dirinya.

 “Memang diakui, berniaga sambil duduk beralaskan tikar tidak selesa tetapi ia tidak menghalang makcik mencari rezeki bagi memenuhi kepuasan diri kerana sudah sekian lama berniaga di sini.

“Malah, jika tidak datang berniaga pada Rabu dan Sabtu, kehidupan hari itu bagaikan ada sesuatu yang tidak kena,” kata nenek kepada 15 cucu ini.

Tuan Maznah berkata, jika dia tidak berniaga, ia umpama makan nasi tiada budu. Malah, jika tiada aral, dia akan tetap datang bagi menjual hasil tanaman.

“Biasanya makcik akan menjual pelbagai hasil tanaman yang diusahakan sendiri seperti kacang tanah, jagung ataupun pisang.Walaupun pendapatan jualan tidak seberapa tetapi makcik puas, daripada duduk di rumah sekurang-kurangnya dapatlah juga duit,” katanya.

Ia turut dikongsi Mek Long Salleh, 65, dari Kampung Sekayu yang sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang kira-kira lebih 10 tahun lalu dengan menjual hasil tanaman dari kebunnya yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar.

“Hasil tanaman makcik jual tidak tentu, kalau ada jagung makcik bawa jagung. Namun, biasanya ada orang yang datang hantar pisang untuk makcik jual.

Lebih penting, setiap Rabu dan Sabtu, makcik dapat berniaga di sini. “Jika tidak dapat berbuat demikian hari makcik rasa kekurangan kerana itulah makcik tetap datang berniaga. Malah, selagi diizinkan-Nya, makcik akan terus berniaga,” katanya.