Halaman

11 January 2013

Usah terlibat dengan himpunan pembangkang

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Rakyat negeri ini, khususnya mereka yang menyokong parti pembangkang diingatkan supaya tidak melibatkan diri dengan perhimpunan yang bakal dianjurkan parti pembangkang di Kuala Lumpur, esok (Sabtu).

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, rakyat perlu faham pihak pembangkang mempunyai agenda tertentu untuk mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat di ibu negara, yang mungkin membawa gejala buruk kepada masyarakat.

“Memang pihak penganjur memberi jaminan tida k ada rusuhan yang akan berlaku, tetapi siapa yang mampu menahan kejadian buruk daripada berlaku jika ramai orang datang ke perhimpunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini orang ramai tidak perlu terpengaruh dengan pihak pembangkang yang memang mempunyai agenda mereka apabila merancang perhimpunan seumpama itu.

“Negara kita mempunyai undang-undang dan saluran yang sah untuk menyalurkan rasa tidak puas hati atau teguran kepada kerajaan.

“Pihak pembangkang juga mempunyai wakil sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk menyalurkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan.

“Oleh itu, perhimpunan seumpama itu tidak wajar diadakan kerana ia akan menimbulkan banyak keburukan daripada kebaikan,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif menasihatkan pihak pembangkang supaya mengadakan program yang lebih baik bagi membantu kerajaan menangani gejala sosial, terutama di kalangan generasi muda.

“Pihak pembangkang juga mempunyai tanggungjawan sosial bagi membantu kerajaan membanteras jenayah dan keruntuhan moral di kalangan anak-anak muda,” katanya.