Halaman

08 January 2013

Tumpuan terhadap aspek pendidikan mampu kembangkan sektor pelancongan

Oleh: Noraini Jusoh

Usaha kerajaan negeri dalam mengembangkan sektor pelancongan di negeri ini mampu direalisasikan dengan memberi tumpuan terhadap semua aspek termasuk pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 khususnya, sektor pelancongan memerlukan sebahagian daripada mereka yang berpengetahuan.

"Kerjasama antara Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan satu program khas kepada lepasan graduan khusus dalam bidang berkaitan pelancongan merupakan langkah baik dalam membawa pendidikan berasaskan pelancongan kepada tahap yang sepatutnya.

"Kursus Perancang Pelancongan yang diperkenalkan oleh TESDEC dan UiTM merupakan antara persiapan pendidikan untuk melatih dan memberi pengalaman kepada mereka dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang mampu mewujudkan serta membangunkan suatu lokasi bagi industri pelancongan.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara TESDEC dan UiTM, di Kampus Induk Kolej TESDEC, Marang, semalam.

Katanya, menerusi perjanjian tersebut, beliau percaya dapat memberi nilai tambah kepada lepasan graduan apabila selesai mengikuti kursus tersebut sekaligus dapat membantu kerajaan negeri dalam menarik lebih ramai pelancong sempena (TMT) 2013.

Difahamkan, pada peringkat awal, 20 peserta mengikuti kursus sembilan bulan yang melibatkan empat bulan teori dan lima bulan praktikal, dimana turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM500 sebulan sepanjang tempoh kursus.

Dato’ Haji Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha untuk menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri ini, buktinya menerusi peningkatan peruntukan bajet negeri sebanyak RM186.74 juta untuk tahun ini berbanding RM138.85 juta tahun lepas.