Halaman

10 January 2013

Terima pandangan tambah baik perkhidmatan awam : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersikap terbuka dan sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan pelbagai pihak bagi menambah baik sistem perkhidmatan awam negeri, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 “Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan semua pihak bagi tujuan menambah baik sistem perkhidmatan dan juga pentadbiran negeri.

“Penambahbaikan itu juga seiring dengan perubahan sikap semua penjawat awam negeri ini supaya akhirnya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, semua penjawat awam juga harus menanam tekad baru di tahun 2013 yang baru bermula ini untuk membuang sikap yang boleh menjejaskan integriti, nilai dan etika kerja masing-masing.

Katanya, dalam usaha menambahbaik prestasi dan kecemerlangan bidang tugas, semua itu perlu didasari dengan aspek kemanusian yang mampu melengkapi kehidupan dan juga persekitaran walau di mana sahaja menjalankan tugas.

Beliau berkata, bagi mencapai tahap perkhidmatan awam yang bertaraf dunia, semua penjawat awam juga harus menyerapkan diri dengan ciri dinamik dan progresif serta tidak berada di takuk lama.