Halaman

03 January 2013

Swasta banyak bantu pasukan bola sepak Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri gembira dengan penyertaan sektor swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu menaja pasukan Terengganu dan T-Team untuk beraksi dalam Liga Super musim ini.

Dato' Seri Haji Ahmad Said menerima replika chek sebagai tanda sumbangan daripada EPIC  untuk pasukan bolasepak  T-Team
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata penyertaan sektor swasta amat diperlukan bagi memajukan bidang sukan di negeri ini kerana ia dapat membantu beban kewangan kerajaan negeri.

“Pada tahun ini banyak syarikat swasta tampil memberi sumbangan dengan menjadi penaja pasukan Terengganu dan T-Team. Saya lihat ini merupakan ‘trend’ baru yang patut menjadi contoh syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan Terengganu dan T-Team di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh.

Pada majlis itu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada pasukan T-Team.

YB Haji Rozi berharap dengan sumbangan yang agak besar dari sektor swasta, prestasi kedua-dua pasukan akan meningkat dan ia berupaya untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Pada tahun 2012 zaman bola sepak di Terengganu agak suram kerana kita tidak menang apa-apa piala. Pada tahun 2011 bola sepak kita agak ceria sedikit kerana kita menang piala,” katanya.