Halaman

21 January 2013

SATU berjaya turun kadar NRW setiap tahun

Oleh; Esah Abdullah

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) berjaya mengurangkan kadar kehilangan air tak terakaun (NRW) kepada 35.78 peratus tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata walau pun kadar itu masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 32 peratus namun penurunan berlaku setiap tahun iaitu 39.39 peratus (2010) dan 36.39 peratus (2011).

“Kadar NRW menunjukkan tred yang semakin menurun hasil usaha dan tindakan yang dilakukan seperti mengganti paip-paip jenis asbestos carnent (AC) khususnya di kawasan yang mengalami kebocoran kritikal,” katanya dalam sidang media di majlis Perasmian Hari Kualiti SATU di Wisma Darul Iman.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah SATU Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya,usaha lain turut dilakukan dengan menukarkan meter pengguna yang berusia lebih tujuh tahun serta menubuhkan unit khas NRW di samping aplikasi sistem teknologi maklumat untuk kawalan paras tangki.

Menurutnya, SATU juga telah melantik juru perunding untuk menjalankan kajian bagi mengenalpasti punca masalah tekanan air rendah khususnya di daerah Kuala Terengganu.

“Langkah segera juga diambil bagi mengatasi laluan paip yang kebocoran berulang dan kritikal yang diganti dengan paip lebih berkualiti serta mempunyai daya ketahanan tinggi,” katanya.

Menurutnya, SATU menerima peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM10 juta (2011-2012) bagi menangani isu-isu berkaitan dengan NRW termasuk mengantikan paip bocor serta penukaran meter pengguna.

Sementara itu seramai 49 orang kakitangan SATU telah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (2010-2011) dan 63 orang kakitangan bersara (2011-2012) diraikan pada majlis itu.

Setiap penerima anugerah cemerlang menerima wang tunai RM1,000, sebuah jam tangan, medal dan sijil manakala setiap pesara menerima sebuah jam tangan, senaskah tafsir al-Quran dan sijil.