Halaman

02 January 2013

Primula Beach Hotel laksana gaji minimum RM900

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum sektor swasta di mana, bagi Semenanjung Malaysia sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Sehubungan itu, Primula Beach Hotel yang merupakan hotel bertaraf empat bintang milik kerajaan negeri menyahut seruan tersebut dan akan melaksanakan gaji minimum RM900 sebulan mulai Januari ini.

Pengerusinya, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, kira-kira 50 peratus atau 115 kakitangan sokongan hotel tersebut bakal menikmati kadar gaji baru selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpendapatan tinggi.

"Pelaksanaan kadar gaji baru ini akan memberi cabaran dimana kita terpaksa menambah peruntukan baru kira-kira RM700 ribu untuk membayar gaji pekerja.

"Walaupun kos operasi akan meningkat, dengan adanya pelan tindakan serta perancangan strategi yang mantap dan ditambah dengan produktivi pekerja, saya yakin pihak kami mampu mengatasi cabaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita semasa ditemui pada Majlis Sepagi Bersama Warga Primula, di hotel tersebut, semalam.

Katanya, kakitangan hotel yang mempunyai 248 bilik itu sentiasa menawarkan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada setiap pengunjungnya dan sentiasa mengamalkan semangat bekerja dalam satu pasukan.

"Sebagai majikan, saya berharap dengan kenaikan kadar gaji ini dapat memberi khabar gembira kepada kakitangan sokongan yang banyak berjasa dan sebagai pendorong untuk mereka terus meningkatkan produktiviti semasa bekerja,” katanya.