Halaman

01 January 2013

Pergerakan Puteri Umno giat laksana program sukarelawan

Oleh: Noraini Jusoh

Pergerakan Puteri Umno Terengganu giat melaksanakan pelbagai program sukarelawan sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap golongan yang memerlukan.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, terbaru pihaknya turut terlibat secara langsung dalam membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Setelah banjir beransur pulih, Puteri Umno di setiap bahagian secara sukarela akan turut serta dalam program gotong royong bagi membersihkan rumah penduduk yang ditenggelami air.

"Kami tidak pernah membezakan fahaman politik ketika menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian dan penyerahan sumbangan sempena program ‘Back To School' dan Agihan Bantuan Pakaian Sekolah di Sek Keb Tok Dir, Marang, semalam.

Katanya, Pergerakan Puteri Umno juga mempunyai pasukan sukarelawan yang membantu para pelajar untuk lebih menguasai Bahasa Inggeris melalui program yang dipanggil ‘English On Wheel’.

Menurut beliau, program ‘English On Wheel’ memberi pendedahan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak melalui pendekatan yang lebih praktikal contohnya dalam bentuk nyanyian dan puisi bahasa Inggeris.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, pihaknya akan terus mendekati golongan muda untuk menyakinkan mereka terhadap perjuangan Barisan Nasional (BN) dan Umno adalah untuk kesejahteraan rakyatnya.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu daripada orang muda dalam memastikan kepimpinan BN dan Umno terus kekal memerintah negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.