Halaman

06 January 2013

Pemandu Teksi Duta Kecil TMT 2013

OLEH FAUZI MOHD


Pemandu-pemandu teksi disarankan supaya berpenampilan baik serta memerdekakan diri daripada sikap negatif memandangkan mereka ibarat duta kecil kepada Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013)

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, saranan tersebut perlu dilaksanakan memandangkan mereka adalah ‘frontliners’ yang mencerminkan imej Terengganu terutama kepada pelancong asing.

Katanya, bagi memantapkan perkhidmatan awam itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menganjurkan program khusus sebagai satu bentuk pelaburan dalam program pembangunan modal insan.

Ujarnya, inisiatif tersebut dilakukan bagi melahirkan pemandu teksi generasi baru yang cekap, efisien, mesra pelanggan, amanah serta mempunyai daya saing yang tinggi.

“Justeru, adalah amat penting bagi pemandu teksi untuk mempunyai kualiti termasuklah bersikap mesra pelanggan di samping mempunyai pengetahuan tentang tempat tarikan pelancongan di sekitar Terengganu untuk dikongsi bersama pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Uniform dan Kits TMT 2013 kepada pengusaha kereta sewa Daerah Kemaman dan Dungun di Majlis Perbandaran Kemaman semalam. 


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.

Sementara itu, Dato’ Mohamad memberitahu, YPU telah mengetengahkan format baru bagi kursus-kursus berkala kepada pengusaha teksi dengan mengadakannya di pelbagai tempat tarikan pelancongan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang produk-produk pelancongan di Terengganu.

“Saya harap pemandu teksi dapat mengurangkan jumlah rungutan pelancong ataupun kalau boleh biarlah tiada langsung aduan yang dibuat oleh penumpang terutamanya pelancong luar negara,” ujarnya.