Halaman

10 January 2013

Pas dibidas isu guna nama Allah

Oleh: Suriati Ali 

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat membidas tindakan pemimpin Pas yang membuat kenyataan bersama kepimpinan pakatan pembangkang lain bersetuju bahawa nama Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam di negara ini.

Katanya, pemimpin Pas tidak faham bahawa perlunya realiti masyarakat setempat sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan agama Islam, khususnya dalam isu pengunaan kalimah Allah.

 “Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa melihat realiti sebenar masyarakat negara ini dan tidak wajar menyamakan Malaysia dengan negara luar seperti Indonesia dan negara-negara Arab.

“Penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain jelas menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat negara ini, selain bertentangan dengan Perlembangaan negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah di Dewan Orang Ramai, Kampung Maras, Kuala Terengganu, hari ini.

 Katanya, pemimpin Pas, terutama Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berani mengeluarkan kenyataan berkaitan itu kerana mempunyai pelbagai agenda tersendiri, termasuk meraih sokongan pimpinan pembangkang bukan Islam.

“Mereka tidak sedar, apa yang diputarbelitkan itu memberi kesan buruk kepada masyarakat seagama selain menimbulkan isu perkauman.

“Dalam realiti masyarakat di Malaysia hari ini, nama Allah hanya boleh digunakan untuk agama Islam saja. Kita belum pernah dengar mana-mana penganut agama lain yang memanggil tuhan mereka dengan nama Allah.

“Sekiranya terdengar, masyarakat bukan Islam menyebut nama Allah dalam perbualan, perkara itu mungkin menjadi tabiat atau kebiasaan kerana gemar bergaul dengan masyarakat Islam,” katanya.