Halaman

28 January 2013

MB guna perkhidmatan ‘river cruise’

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira sejam menggunakan perkhidmatan ‘river cruise’ menyusuri Sungai Terengganu, petang semalam bagi mengalami sendiri pengalaman menyeronokkan itu.



Beliau dan rombongan terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan wakil media massa menaiki bot milik Taman Tamadun Islam (TTI) di Jeti Shahbandar dan mengelilingi Pulau Duyong serta kawasan sekitar TTI.


Kegembiraan terpancar di wajah beliau yang ternyata amat gembira menempuhi pengalaman menyeronokkan itu sambil melupakan seketika tugas-tugas rutin harian.

“Memang seronok naik bot sambil menyusuri Sungai Terengganu dan melihat keindahan bandar Kuala Terengganu serta kawasan sekitar seperti Seberang Takir dan perkampungan tradisional lain,” katanya selepas berakhir program berkenaan.

Beliau dan rombongan kemudiannya menikmati minum petang yang menhidangkan makanan tradisional di Riyaz Heritage.

Program anjuran Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan kerjasama TTI, Riyaz Heritage dan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu itu bertujuan mempromosikan perkhidmatan ‘river cruise’ yang dimulakan sejak lebih setahun lalu.

Menteri Besar berkata, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dan pihak pengurusan TTI akan menambah dua bot lagi bagi menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Pihak TTI turut menyediakan pakej untuk pelancong menjamu selera di atas bot sambil menikmati keindahan panorama sepanjang Sungai Terengganu,” katanya.



Pakej yang ditawarkan itu ialah RM25 seorang untuk sarapan (termasuk tambang bot) dan RM38 untuk hidangan makan malam.