Halaman

21 January 2013

Manifesto BN bukan janji kosong

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengeluarkan manifesto tambahan yang bakal mengandungi pelbagai program dan projek untuk kepentingan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Manifesto berkenaan adalah tambahan kepada manifesto BN Pusat yang dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

Walaupun manifesto tersebut masih di peringkat rahsia, kita yakin kandungan janji pemimpin BN itu menjurus kepada soal perumahan, kebajikan rakyat, masalah-masalah perbandaran dan penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengerusi BN, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sudah mengeluarkan kenyataan BN Terengganu akan mengeluarkan manifesto tambahan bagi menghadapi PRU 13, tetapi belum bercadang untuk mengumumkannya dalam tempoh terdekat ini.

“Apabila tiba masa sesuai, kita akan umumkannya, apa yang penting, rakyat perlu bersabar menanti pengumuman manifesto yang pasti menjanjikan banyak kebaikan untuk rakyat ,” kata kepadanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Berdasarkan rekod, BN tidak pernah terburu-buru melancarkan manifesto pilihan raya, tetapi sejarah membuktikan bahawa setiap janji mereka dalam manifesto tersebut akan dilaksanakan selepas BN menang dalam pilihan raya.

Bahkan, perkara-perkara yang tidak dijanjikan dalam manifesto turut dilaksanakan selepas BN menang dalam pilihan raya baik di peringkat Pusat, mahupun peringkat negeri.

Keadaan ini berbeza dengan parti pembangkang yang hanya pandai berjanji setiap kali musim pilihan raya, tetapi tidak melaksanakannya.

Mereka akan mencari alasan,teramasuk menjadikan BN sebagai ‘kambing hitam’ kerana kegagalannya menunaikan janji-janji tersebut. Ini terbukti pabila Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sejak tahun lalu lagi telah pun mengumumkan manifesto Pas bagi tujuan memancing undi.

Antara manifesto Pas yang tidakmasuk akal ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, memberi cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami dan menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun.

Sebelum ini, Pas juga pernah berjanji untuk menghapuskan cukai pintu, tetapi janji tersebut tidak dilaksanakan walaupun mereka berjaya memerintah negeri ini pada tahun 1999 hingga 2004.

Inilah kebiasaan pemimpin pembangkang, mereka sanggup menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, tetapi bila sampai masa ia hanyalah janji kosong saja kerana mereka hanya mahukan undi dan jawatan wakil rakyat, tetapi tidak berniat pun membela rakyat.


Itulah beza antara pemimpin BN dan part-parti pembangkang....