Halaman

24 January 2013

LKIM belanja RM9.5 juta bina rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

Sejumlah RM9.5 juta telah dibelanjakan untuk projek khas perumahan nelayan di negeri ini bagi baikpulih dan bina baru 1,068 buah rumah nelayan sepanjang tahun lalu.

 Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, peruntukan yang besar ini dibelanjakan tujuan memberi keselesaan kepada golongan itu yang sebahagian besar dalam kategori miskin.

“Peruntukan maksimun baiki rumah adalah RM10,000 manakala rumah bina baru sebanyak RM40,000,” katanya dalam sidang media di majlis Penyerahan Bantuan Sara Hidup Nelayan di Perpustakaan Awam Terengganu baru-baru ini.

Katanya, nasib golongan nelayan sentiasa di bawah pemerhatian pihak LKIM serta berusaha untuk meningkatkan pendapatan keluarga nelayan termasuk memiliki kediaman yang selesa.

Menurutnya, peruntukan projek baiki dan bina rumah untuk tahun ini masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam sedikit masa lagi.

“Kalau boleh semua nelayan boleh duduk di rumah sendiri yang selesa dan melalui projek penempatan semula nelayan yang dirancang mampu menangani masalah berkenaan,” katanya.