Halaman

22 January 2013

KVKT sasar lahirkan 70 peratus tenaga kerja terlatih

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Vokasional Kuala Terengganu (KVKT) menyasarkan 70 peratus daripada pelajar kolej tersebut menjadi tenaga kerja terlatih yang berkemahiran dalam bidang masing-masing apabila menamatkan pengajian nanti.
Pengarahnya, Tuan Haji Hussin Yusof berkata, matlamat KVKT adalah untuk melonjakkan kedudukan aliran vokasional dalam sistem pendidikan negara dan membantu dalam melahirkan tenaga kerja yang berkualiti.

Katanya, bidang vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian sederhana dalam akademik dan berminat mempelajari kemahiran tertentu dimana dengan kemahiran yang dimiliki mereka mampu mendapat pekerjaan yang bersesuaian khususnya dalam sektor perindustrian.

"Sasaran KVKT adalah untuk melahirkan 70 peratus pelajar menceburi bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka selepas menamatkan pengajian , 20 peratus melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta sepuluh peratus lagi mampu menjadi usahawan.

"Sistem pengajaran dan pembelajaran di KVKT pula meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Minggu Silaturahim Pelajar Baru, di KVKT, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, En. Hashim Mohd Zain serta YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KVKT, Tuan Haji Abdullah A. Rahman.

Katanya, KVKT merupakan salah sebuah institusi terbaik antara 15 buah Kolej Vokasional (KV) rintis di Malaysia.

"Setakat ini, KVKT menawarkan sembilan kursus pengajian diploma iaitu dalam bidang Teknologi Automotif, Teknologi Binaan, Teknologi Elektrik, Teknologi Elektronik, Perakauan, Kesetiausahaan Pentadbiran, Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan dan Teknologi Penyejukan.

"Manakala lima kursus di peringkat sijil pula ialah Furniture Marker, Jurukimpal Arka Logam Berperisai, Juruteknik Elektrik Rendah, Juruteknik Rendah Elektorik Industri dan Mekanik Kenderaan Bermotor,” ujarnya.

Katanya, lepasan diploma dan sijil dimana masing-masing mengikuti pengajian selamat empat dan dua tahun akan dianugerahkan Diploma Vokasional Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Menurut beliau, seramai 360 pelajar lepasan tingkatan tiga berdaftar di KVKT semalam, untuk mengikut kursus kemahiran yang mereka minati.