Halaman

02 January 2013

JKKK Alur Tuman amal sikap gotong royong

Oleh :Amirullah Othman

Amalan gotongroyong dalam masyarakat kita dewasa ini telah terhakis kerana kebanyakan orang ramai lebih senang menggunakan khidmat tempahan untuk mengadakan kenduri-kendara atau majlis keraian.

Namun begitu, amalan gotong royong masih sebati di jiwa penduduk Kampung Alur Tuman, Marang, apabila semua program yang dijalankan di kampung itu mendapat sambutan sangat baik dari segi wang dan tenaga.

Ini menggambarkan jika adanya perpaduan yang baik dan ketelusan antara pemimpin akar umbi dengan setiap penduduk sudah pasti segala bentuk program dan perancangan dapat dilakukan dengan lancar.

Kampung Alur Tuman didiami 153 keluarga dan penduduk seramai 612 orang yang menjalankan pekerjaan sebagai kakitangan kerajaan, berniaga, nelayan, petani dan kerja sendiri.

Program terbaru, masyarakat di sini telah menjalankan program memasak bubur asyura sebanyak lima kawah untuk dibahagikan kepada semua penduduk.

Kerjasama bagi menyempurnakan program ini telah melahirkan rasa syukur kepada penduduknya kerana mereka didatangi semua ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang pergi ke rumah mereka bagi mengagihkan bubur asyura.

Sokongan dan sentuhan dari pimpinan DUN Rhu Rendang iaitu Haji Nik DirNik Wan Ku dan pimpinan Parlimen Marang iaitu YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar telah menyemarakkan lagi semangat gotong royong dan silaturahim di kalangan penduduk.