Halaman

19 January 2013

Hotel baru meningkat 20 peratus sempena TMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menjangkakan pertambahan sebanyak 20 peratus bilik penginapan di Terengganu berikutan pembinaan beberapa hotel baru yang dijangka beroperasi menjelang suku kedua tahun ini.

Kemudahan penginapan itu sebagai persiapan kerajaan negeri menyambut kehairan pelawat dari dalam dan luar Terengganu yang mendadak sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata perkembangan itu menjadikan keseluruhan jumlah bilik hotel melebihi 10,000 unit tahun ini berbanding sekitar 8,000 unit tahun lalu.

“Bagaimanapun, jumlah pertambahan ini hanya di Bandar Raya Kuala Terengganu dan tidak termasuk di daerah lain.

 “Pembinaan kesemua hotel berkenaan juga tidak termasuk inap desa dan hotel bajet yang pastinya akan memberi keselesaan dan mengelakkan masalah kekurangan hotel di Terengganu sempena TMT tahun ini,” katanya di Majlis pelancaran Kalendar Aktiiti Pelancongan 2013, Sempena TMT 2013 di Hotel Tanjong Vista, kelmarin (17 Januari).

Hadir sama, Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani. Datuk Abdul Rahin berkata, dua hotel bertaraf tiga bintang dan satu hotel biasa yang baru siap dibina di bandar ini sedang dalam proses terakhir sebelum memulakan operasi.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga meluluskan pembinaan satu hotel bajet pada minggu lalu, yang akan dibina tahun ini di atas tapak bekas panggung wayang di tengah pusat bandar oleh pihak swasta.

Dua hotel bertaraf tiga bintang berkenaan, ialah Hotel Prinz Park di Kuala Ibai dan Hotel Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berhampiran Masjid Abidin atau dikenali Masjid Putih. 

Manakala satu lagi hotel yang baru siap dibina dan dalam proses pengisian katil serta peralatan ialah berhampiran Pasar Payang yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat ini.