Halaman

31 January 2013

Hampir keseluruhan usahawan berjaya bayar balik pinjaman T-Fund

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 90 peratus daripada kira-kira 2,000 usahawan di seluruh Terengganu berjaya membayar balik pinjaman menerusi dana Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu (T-Fund) yang disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sejak 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, perkembangan itu memberi petunjuk hampir keseluruhan peminjam berjaya mengembangkan perniagaan dan membolehkan mereka menjelaskan pinjaman mengikut tempoh ditetapkan pihaknya.

“Sementara jumlah usahawan yang gagal membayar balik pinjaman adalah sangat kecil dan kita akan menyelesaikan masalah itu menerusi perundingan dan mengenalpasti punca kegagalan mereka membayar balik sebelum mengambil tindakan mengikut undang-undang.

 "Kita sentiasa memantau prestasi semua usahawan berkenaan, selain membuka peluang kepada mereka menyertai pelbagai kursus dan bimbingan bagi memajukan perniagaan dari masa ke semasa,” katanya baru-baru ini.

Haji Azmi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan T-Fund sebanyak RM2 juta setahun pada tahun ini berbanding RM1 juta tahun lalu bagi memberi peluang lebuh ramai usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan dalam pelbagai sektor.

Menurutnya, T-Fund yang ditubuhkan sejak 2002 membelanjakan kira-kira RM13.166 juta untuk 1,795 peminjam sehingga 2011 menerusi tiga skim pembiayaan iaitu Skim Pembiayaan Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF).

Selain itu, YPU sudah mengeluarkan termasuk RM268,500 yang dibelanjakan bermula Januari hingga Mei tahun lalu.

"Dana ini meliputi modal pinjaman dan modal pusingan yang akan diberi kepada usahawan IKS sedia ada, malah YPU menggalakkan agar rakyat Terengganu terus menceburi perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mereka," katanya.

Katanya, saiz pembiayaan bagi setiap usahawan mengikut skim itu adalah antara RM2,000 hingga RM50,000.