Halaman

01 January 2013

Bank Islam rancang 150 cawangan menjelang 2015

Oleh; Esah Abdullah

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merancang untuk membuka 23 buah cawangan lagi di seluruh negara, menjadikan 150 buah menjelang 2015.

Pengurus Besar (Perhubungan Strategik) Bank Islam , Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, pembukaan cawangan baru itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan penduduk termasuk di Sabah dan Sarawak.

``Pada masa ini Bank Islam mempunyai 127 buah cawangan di seluruh negara,’’ katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini

Beliau berkata, sebuah cawangan akan dibuka iaitu di Kuala Berang pada tahun ini menjadikan cawangan ke lima selepas Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Besut setelah beroperasi sejak 2007.

Menurut beliau, pembukaan cawangan baharu itu sejajar dengan komitmen dan memperluaskan rangkaian saluran penyampaian perkhidmatan kepada seluruh masyarakat.

Beliau berbangga kerana Bank Islam turut menjadi pelanggan kepada masyarakat bukan Islam selain mempunyai pelanggan masyarakat Islam,

Sehubungan dengan itu Bank Islam sentiasa berusaha untuk menawarkan pelbagai produk baru kepada pelanggan dalam usaha memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan.

Katanya, setiap penubuhan cawangan baru akan melibatkan kos antara RM700,000 hingga RM800,000, membabitkan kelengkapan peralatan pejabat, pembangunan internet dan komunikasi.

Selain itu,  pada masa ini Bank Islam mempunyai pelanggan melebihi 3.5 juta orang di seluruh negara.