Halaman

09 January 2013

106 anak yatim terima zakat RM10,600

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 106 anak yatim yang tinggal di kawasan sekitar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sumbangan wang zakat sebanyak RM100 seorang bagi meringankan beban memasuki sesi baru persekolahan.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, UMT mengambil tanggungjawab sosial menyampaikan sumbangan wang zakat berjumlah RM10,600 yang diterima daripada Bank Rakyat Cawangan Gong Badak untuk diagihkan kepada anak yatim.

"Atas dasar keprihatinan dan memenuhi tanggungjawab sosial universiti (USR), pihak kami telah memilih anak-anak yatim dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk diagihkan wang zakat berkenaan.

"Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah berhampiran universiti ini yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Zakat Bank Rakyat kepada anak-anak yatim sekitar UMT, di Masjid Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, dengan pemberian sedikit sumbangan tersebut diharap dapat menampung kos perbelanjaan buku serta kelengkapan sekolah anak-anak yatim terutamanya di awal musim persekolahan ini.

Tambah beliau, uniknya program yang diadakan dengan kerjasama Bank Rakyat itu adalah kerana ia diadakan di masjid dan melibatkan komuniti terdekat dengan universiti.

"Pemberian sumbangan wang zakat kepada anak-anak yatim yang memerlukan itu merupakan inisiatif memperluaskan tanggungjawab sosial kedua-dua pihak dan kerjasama yang terjalin mampu mewujudkan situasi memang-menang kepada pihak UMT dan Bank Rakyat,” ujarnya.